100% kandungan web ini disedut terus dari blog
ilmudanulamak.blogspot.com
(menggunakan Subscribe to:
Posts (Atom) yang disediakan di hujung blog tersebut)
Ustaz Ahmad Adnan Bin Fadzil
Ijazah Sarjana Muda (Syari'ah) Uni. Al-Azhar (1997)
ADAKAH MENANTU TIRI MERUPAKAN MAHRAM? (20-10-2026)
ADAKAH MENANTU TIRI MERUPAKAN MAHRAM?
Soalan:
Seorang lelaki berkahwin dengan seorang wanita yang mempunyai anak lelaki daripada perkahwinan terdahulu. Anak lelaki tersebut kemudiannya berkahwin. Adakah isteri kepada anak tirinya itu menjadi mahram kepadanya?
Jawapan:
Isteri kepada anak tiri lelaki (menantu tiri) bukan mahram kepada bapa tiri suaminya. Ini kerana hubungan perkahwinan yang mengharamkan seseorang lelaki berkahwin dengan menantunya hanya melibatkan isteri kepada anak lelaki daripada keturunannya sendiri, bukan isteri kepada anak tiri.
“Dan (diharamkan ke atas kamu berkahwin dengan) isteri-isteri anak lelaki kamu yang berasal daripada keturunan kamu sendiri.”
(Surah al-Nisa', ayat 23)
Dalam kitab I‘anah al-Talibin, dijelaskan bahawa antara wanita yang tidak haram dikahwini kerana hubungan kekeluargaan ialah:
Anak perempuan kepada suami ibu (bapa tiri), begitu juga ibu kepada bapa tiri.
Anak perempuan kepada suami anak perempuan (menantu lelaki), begitu juga ibu kepada menantu lelaki.
Ibu kepada isteri bapa, begitu juga anak perempuannya.
Ibu kepada isteri anak lelaki, begitu juga anak perempuannya.
Isteri kepada anak tiri lelaki (زَوْجَةُ الرَّبِيبِ).
Isteri kepada bapa tiri (زَوْجَةُ الرَّابِّ).
(I‘anah al-Talibin, 3/336)
Berdasarkan penjelasan tersebut, isteri kepada anak tiri lelaki tidak menjadi mahram kepada bapa tiri suaminya. Oleh itu, kedua-duanya wajib menjaga batas pergaulan sebagaimana antara lelaki dan wanita ajnabi, termasuk menjaga aurat, tidak bersalaman dan tidak berkhalwat.
Kesimpulannya, hubungan menantu tiri tidak mewujudkan hubungan mahram, kecuali jika terdapat sebab lain yang menjadikan mereka mahram, seperti hubungan nasab atau susuan.
Wallahu a‘lam.
Ahmad Adnan Fadzil, Akademi al-Quran Imam al-Syafiie (AQIS) aqis.com.my
GANTI PUASA BAGI PESAKIT DIALYSIS (03-03-2025)
Soalan :
Bagi pesakit dialysis yang tak dapat puasa kerana uzur, adakah kena bayar puasa juga bila mampu?
Jika tidak tahu bila yang mampu, boleh tak terus bayar fidyah sahaja atau kena bayar fidyah dan kena bayar puasa juga bila mampu?
Syukran Ustaz.
JazakALLAH Khayr
Jawapan:
Jika tidak mampu lagi berpuasa kerana dialysis terpaksa dijalankan juga di luar Ramadhan, dia boleh terus ganti dengan fidyah. Tidak dituntut lagi atas dirinya qadha. Allah SWT berfirman:
"...dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya
berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang
miskin" (al-Baqarah: 184).
Namun jika keadaannya pulih, para ulamak berbeza pandangan. Menurut mazhab Hanafi, wajib dia mengqadha puasanya, tidak memadai dengan fidyah itu sebagai ganti puasa. Namun menurut pandangan muktamad dalam mazhab Syafiie, tidak perlu lagi dia menggadha puasanya, kerana kewajipan ke atasnya bagi situasinya terdahulu ialah fidyah dan dia telahpun melaksanakannya.
Wallahu a'lam.
PERLUKAH MAKMUM MENGAMINKAN SELAWAT IMAM DI DALAM QUNUT SUBUH? (27-02-2025)
Soalan; Perlukah makmum mengaminkan selawat imamnya semasa qunut?
Jawapan;
Jawapan bagi soalan di atas bergantung kepada kedudukan selawat; apakah ia doa atau pujian? Kedua-duanya dapat diandaikan. Kerana itu terdapat khilaf di kalangan ulamak dalam mazhab Syafiie sendiri;
a) Ada berkata; ia adalah doa, maka makmum hanya perlu mengaminkan bacaan selawat imam. Pandangan ini disebut Imam al-Tobari.
b) Ada berkata; ia adalah pujian, maka makmum perlu membacanya sendiri. Pandangan ini disebut Imam al-Ghazzi.
Pandangan yang muktamad ialah yang pertama. Namun Imam al-Khatib al-Syirbini dan Imam al-Baijuri mengesyorkan; sebaiknya kita menghimpunkan kedua-duanya iaitu; kita mengaminkan selawat imam, kemudian kita turut membacanya. Wallahu a'lam.
BENARKAH NABI SAW LAHIR TANGGAL 12 RABIUL AWWAL? (16-09-2024)
Soalan: ustaz, benarkah Nabi Muhammad SAW dilahirkan pada tanggal 12 Rabiul Awwal? Saya ada mendengar tanggal tersebut adalah tanggal kewafatan baginda, bukan kelahirannya.
Jawapan:
Terdapat nukilan dari tokoh sirah terkenal (Ibnu Ishaq) bahawa Nabi Muhammad SAW dilahirkan pada tanggal tersebut (12 Rabiul Awwal). Imam al-Baihaqi mencatatkan dalam kitabnya Dalail al-Nubuwwah:
قَالَ مُحَمَّدُ بْنُ إِسْحَاقَ: وُلِدَ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم، يَوْمَ الْإِثْنَيْنِ، عَامَ الْفِيلِ، لِاثْنَتَيْ عَشْرَةَ لَيْلَةٍ مَضَتْ مِنْ شَهْرِ رَبِيعٍ الْأَوَّلِ.
"Berkata Muhammad bin Ishaq: Rasulullah SAW dilahirkan pada hari Isnin, tahun Gajah, pada tanggal 12 Rabiul Awwal" (Dalail al-Nubuwwah, 174; al-Maktabah al-Syamilah).
Tanggal inilah yang diterima majoriti ulamak dan penulis-penulis sirah sekalipun tidak dinafikan terdapat pandangan menyebutkan tanggal lain.
Ringkasnya, tiada persepakatan tentang tanggal lahir baginda SAW. Persepakatan hanya pada hari lahirnya iaitu Isnin dan bulan kelahirannya iaitu Rabiul Awwal.