ADAKAH SYURGA KEMBALI KE BAWAH TAPAK KAKI IBU SETELAH KEMATIAN SUAMI?
Soalan; ustaz, sepertimana yang saya tahu, syurga seorang isteri di bawah telapak kaki suaminya. Tapi ustaz, macam mana pula jikalau suaminya telah meninggal? Adakah syurganya kembali kepada ibu kandungnya?
Jawapan;
Hingga bila-bilapun syurga tetap di bawah tapak kaki ibu-bapa dan keredhaan Tuhan berada pada keredhaan Ibu-bapa.
Sabda Nabi SAW;
“Jagalah kedua ibu-bapamu kerana Syurga di bawah kaki kedua mereka” (Al-Mu'jam al-Kabir, at-Thabrani; 2202. Menurut al-Munziri; sanad hadis ini baik. Lihat; at-Targhib wa at-Tarhib, al-Munziri; 3751).
Sabda baginda juga;
“Keredhaan Tuhan berada pada keredhaan Ibu-bapa dan kemurkaan Tuhan berada pada kemurkaan ibu-bapa” (HR at-Tirmizi dan al-Hakim dari ‘Abdullah bin ‘Amru RA. Menurut as-Suyuti; hadis ini adalah soheh. Lihat; al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 4456). Sama ada bergelar isteri atau tidak, seorang anak tetap wajib berbuat baik dan berbakti kepada ibu dan bapanya sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah dalam al-Quran. Mentaati suami adalah perintah Allah, berbakti kepada ibu dan bapa juga perintah Allah, maka kedua-duanya wajib dilaksanakan semampunya. Untuk memahami lebih lanjut, sila baca jawapan saya sebelum ini; (ADAKAH SYURGA BERPINDAH KE BAWAH TAPAK KAKI SUAMI SETELAH BERKAHWIN?).
Wallahu a'lam.
BENARKAH KENYATAAN "WANITA MEMILIKI 9 NAFSU DAN 1 AKAL"?
Soalan; ustaz, saya hendak tanya pasal orang perempuan ada 9 nafsu dan 1 akal, terbalik dengan lelaki (9 akal, 1 nafsu). Betul ke hal tu? Daripada hadis ke apa sumbernya? Jawapan; Dalam Soheh al-Bukhari, ditemui hadis menyebutkan; "Wanita kurang akal dan agamanya (berbanding lelaki). Kurang akal di mana kesaksian seorang wanita separuh kesaksian lelaki (*yakni dalam kesaksian, 4 saksi wanita menyamai 2 saksi lelaki). Kurang agama di mana wanita ketika haid tidak boleh lagi solat dan berpuasa (*lelaki pula boleh solat dan puasa sepanjang masa)" (Soheh al-Bukhari; 304. Dari Abu Sa'id al-Khudri RA). Menurut Syeikh Dr. Mustafa al-Bugha; maksud hadis itu ialah melihat secara umum (umum kaum wanita berbanding kaum lelaki). Adapun secara khusus (individu), terdapat ramai wanita lebih berakal dari ramai orang lelaki.(1) Sebahagian ulamak berkata; maksud kurang akal dalam hadis di atas ialah dinisbah kepada hati, yakni; wanita dijadikan Allah dengan memiliki perasaan hati yang lebih kuat berbanding dengan penilaian akal/logiknya, berbeza dengan lelaki yang memiliki penilaian akal lebih kuat dari perasaan hatinya. Hal itu kerana tugas-tugas asasi wanita (mengandungkan anak, kemudian menyusuinya, menjaga dan mengasuhnya, melayani suami dan anak-anak dan sebagainya) memerlukan sifat kasih dan simpati yang berterusan dan sifat-sifat itu hanya lahir dari perasaan hati yang kuat dan tabah. Berkata Syeikh Sya'rawi; "Manusia memerlukan kasih sayang dan belaian seorang ibu dan kebijaksaan seorang bapa".(2) Kurang agama pula bermaksud; kaum wanita diberi keringanan yang lebih dalam agama berbanding lelaki. Tuntutan agama ke atas mereka lebih ringan dari kaum lelaki, kerana itu digugurkan kewajipan solat dan puasa dari mereka sepanjang masa haid dan nifas, mereka tidak diwajibkan keluar berjihad, solat berjamaah dan solat jumaat.(3) Adapun kenyataan "wanita memiliki 9 nafsu dan 1 akal", belum ditemui sumber hadisnya. Wallahu a'lam.
Soalan; Assalamu alaikum Ustaz. Saya
nak tanya hukum beri nafkah kpd ibu-ayah tu wajib kan sbg anak
laki..nafkah tu mesti dlm bentuk keperluan asas ke? (duit/pakaian
lain2)..atau bole dlm bentuk lain? Sya
tahu ayah-ibu sya takde masalah dgn duit..duit dorang pun lagi byk drpd
sya..dan anak2 lain pun ada bg sumbangan sikit pd ayah-ibu. Jadi
selama ni sya bagi dlm bentuk lain..sya belikan ayahibu sebuah kereta
yg selesa utk kegunaan mereka..bulan2 sya yg bayar duit kereta ke bank..
Soalan
sya, adakah sya telah dikira menunaikan tanggungjawab memberi nafkah
kpd ayahibu sya?..atau sya tetap juga kena bg cash walaupun
sedikit?..
Mohon pencerahan drpd Ustaz ya. Terima kasih byk2.
Jawapan;
Bismillah. Nafkah kepada ibu/bapa menjadi wajib ke atas anak jika ada dua syarat;
1. Ibu/bapa miskin (memerlukan saraan)
2. Anak mampu/berada.
Jika
ibu/bapa kaya (berada, tidak memerlukan saraan dari orang lain),
tidaklah wajib anak menafkahi mereka. Begitu juga, jika anak miskin
tidaklah dia diwajibkan menafkahi mereka kerana seseorang tidak dibebani
oleh Syarak dengan sesuatu di luar kemampuannya.
Sekalipun
tidak wajib dinafkahi kerana mereka kaya (berada), namun jika anak
ingin menafkahi/menyarai mereka atas dasar sukarela kerana ingin
berbakti kepada mereka, itu adalah langkah yang baik dan digalakkan oleh
Syarak kerana ia termasuk dalam pengertian Birru walidain (berbuat baik
dan berbakti kepada dua ibu-bapa) yang disuruh oleh al-Quran dan
hadis.
Bagi
ibu/bapa yang wajib dinafkahi, ukuran nafkah ialah al-kifayah (yakni
kadar yang menciukupi keperluan mereka). Ia merangkumi makanan asasi,
lauk, pakaian, tempat tinggal, rawatan/ubatan dan sebagainya yang
diperlukan.
Wallahu a'lam.
Rujukan;
1. al-Fiqh as-Syafiie al-Muyassar, Syeikh Sayyid bin 'Abdillah at-Tidi, 211-212.
2. Hasyiyah al-Baijuri, 2/191.
HUBUNGAN DENGAN KELUARGA PASANGAN (SUAMI @ ISTERI) SETELAH KEMATIANNYA
Soalan; Assalamualaikum ustaz. Mohon bantuan pencerahan berkenaan perkara ini : BAGAIMANA SEHARUSNYA HUBUNGAN SUAMI/ISTERI DENGAN BEKAS KELUARGA MERTUA(kes isteri/suami telah meninggal dunia) YANG MANA BAPA DAN IBU MERTUA BEKAS ISTERI/SUAMI TELAH TIADA. YANG TINGGAL HANYA ADIK BERADIK NYA SAHAJA. DAN MEREKA TELAH BERKAHWIN LAIN. PERLU
TERUSKAN SEPERTI BIASA HUBUNGAN DENGAN MEREKA OR PERLU JARAKKAN DEMI
KERUKUNAN RUMAHTANGGA YANG BARU. MAAF KATA, BIASALAH KALAU DAH BERKAHWIN
BARU, SIKIT SEBANYAK PERLU MENJAGA BATASAN DAN HATI PASANGAN BARU. ADA BATAS2 DALAM PERGAULAN/HUBUNGAN TAK? KE KENA REMAIN SAMA MCM WIFE/HUSBAND KETIKA MASIH ADA?OR MCMMANA. JAZAKALLAHU KHAIRAN.
Jawapan;
Bismillah. Dari
segi hukum, adik-beradik kepada suami atau isteri tidaklah mahram.
Kerana itu batasan pergaulan dengan mereka sama seperti batasan
pergaulan dengan ajnabi yang lain iaitu tidak boleh membuka aurat, tidak
boleh bersentuhan (bersalaman), berduaan dan sebagainya. Namun oleh
kerana mereka mempunyai ikatan kekeluargaan dengan suami/isteri, maka
perlulah dijaga hubungan dengan mereka kerana ia termasuk dalam
pengertian berbuat baik kepada pasangan. Apabila pasangan telah
meninggal, sekalipun tuntutan menjaga hubungan dengan keluarganya tidak
sebesar ketika dia masih hidup, namun digalakkan hubungan baik itu terus
dipelihara terutama dengan individu yang dikasihi oleh pasangan ketika
hidupnya.Sikap tersebut menjadi amalan Nabi SAW di mana setelah kematian
isterinya Khadijah RA, baginda sentiasa menjalinkan hubungan baik
dengan orang-orang yang yang dikasihi Khadijah semasa hayatnya. 'Aisyah
RA menceritakan; "Rasulullah SAW menyembelih kambing dan menghadiahkan
sebahagian dari dagingnya kepada orang-orang yang dikasihi Khadijah
(yakni dari kalangan rakan-rakan atau ahli keluarganya)" (Soheh
al-Bukhari, hadis no. 6004). Wallahu a'lam.
SIAPA DI KALANGAN KELUARGA SUAMI ATAU ISTERI YANG MENJADI MAHRAM KITA?
Soalan; Assalamualaikum ustaz.Saya ingin bertanyakan 2 soalan
berkaitan aurat suami-isteri dan tanggungjawab yang wajib bagi seorang suami
dan isteri. Soalan saya adalah seperti berikut: 1. Apakah aurat suami dan isteri di mata keluarga mertua? Contohnya, dengan mertua, ipar, anak saudara, bapa/ibu saudara, suami/isteri kepada bapa/ibu saudara. Apakah had bersalaman dengan mereka? Terima kasih di atas jawapan ustaz. Saya adalah hamba yang jahil dan perlukan bantuan ustaz. Sekian.
Jawapan;
Bismillah. Aurat dan bersalaman
bergantung kepada mahram atau tidak orang yang berhadapan kita. Jika dia mahram
kita, harus kita bersalaman dengannya dan auratnya dengan kita (lelaki) ialah
sepertimana aurat ibu dan adik-beradik perempuan kandung kita iaitu dari dada
hingga lutut mengikut pandangan yang rajih (yakni boleh menampakkan bahagian
rambut, leher, tangan dan betis, adapun kawasan lainnya wajib ditutup). Maksud
mahram ialah orang yang diharamkan ke atas kita mengahwininya buat selamanya.
Mahram boleh timbul dengan sebab nasab, perkahwinan atau penyusuan.Mahram
dengan sebab perkahwinan -bagi seorang lelaki- hanya membabitkan empat orang
sahaja;
1. Ibu dan nenek isteri (yakni ibu
mertua dan nenek mertua)[1]
2. Menantu (yakni isteri kepada anak
lelakinya atau isteri kepada cucu dan cicitnya).[2]
3. Anak dan cucu tiri (anak perempuan isteri, cucu perempuan isteri, hingga ke bawah)[3]
4. Ibu dan nenek tiri (yakni isteri bapa atau isteri datuk, hingga ke atas)[4]
Maka apabila seorang lelaki berkahwin dengan seorang wanita,
hanya ibu, nenek, anak perempuan dan cucu perempuan isterinya sahaja yang
menjadi mahramnya (dari kalangan keluarga isterinya). Adapun wanita-wanita lain
(iaitu adik/kakak ipar, ibu saudara isteri, anak saudara isteri..) mereka
bukanlah mahramnya. Maka mereka wajib menutup aurat di hadapannya (iaitu
seluruh badan kecuali muka dan tangan, yakni wajib memakai tudung kepala), dan
tidak harus dia bersalaman dengan mereka kerana mereka bukan mahramnya. Adapun
auratnya di hadapan mereka pula ialah kawasan antara pusat hingga lutut (yakni
kawasan badan yang lain harus didedahkan, adapun kawasan antara pusat dan lutut
wajib ditutup).
Bagi wanita pula, mahramnya dengan
sebab perkahwinan juga membabitkan empat orang juga; 1. Bapa dan datuk suaminya (iaitu
bapa mertua dan datuk mertua). 2. Menantu (iaitu suami kepada anak
perempuannya dan suami kepada cucu atau cicit perempuannya) 3. Anak dan cucu tiri (iaitu anak
lelaki dan cucu lelaki suaminya) 4. Bapa atau datuk tiri (iaitu suami
kepada ibunya atau suami kepada neneknya).
Maka apabila seorang perempuan
berkahwin dengan seorang lelaki, hanya bapa, datuk, anak lelaki dan cucu lelaki
suaminya sahaja yang menjadi mahramnya (dari kalangan keluarga suaminya). Di
depan mereka harus dia membuka tudungnya dan harus dia bersalaman degan mereka.
Adapun lelaki-lelaki lain (adik/abang ipar, bapa saudara suami, anak saudara
suami...) mereka bukanlah mahramnya, maka dia tidak boleh mendedahkan aurat di
hadapan mereka (kecuali muka dan tangan sahaja, yakni wajib pakai tudung) dan
tidak harus bersalaman dengan mereka.
Wallahu a'lam.
[1]
Yakni wanita-wanita yang menjadi usul kepada isteri kita meerangkumi; ibunya,
ibu kepada ibunya dan ibu kepada bapanya, hingga seterusnya (al-Mausu’ah
al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, perkataan mahram, 36/213).
[2]
Yakni isteri-isteri kepada furu’nya (anak, cucu dan cicitnya) (al-Mausu’ah
al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, perkataan mahram, 36/213). Namun pengharaman
(yakni hubungan mahram) hanya terhenti kepada wanita yang menjadi isteri furu’ kita
sahaja. Adapun wanita-wanita yang bertalian dengannya sama ada usulnya atau
furu’nya tidaklah menjadi mahram kita (yakni mereka hanya menjadi mahram anak
atau cucu kita sahaja) (al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, perkataan
mahram, 36/213).
[3]
Iaitulah furu’ isteri, merangkumi anak perempuannya, cucu perempuannya, cicit
perempuannya, hingga seterusnya ke bawah. Namun mereka hanya menjadi mahram
apabila isteri disetubuhi (yakni tidak cukup dengan akad sahaja) (al-Mausu’ah
al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, perkataan mahram, 36/213).
[4] Yang
menjadi mahram hanyalah wanita yang menjadi isteri kepada bapa atau datuk
sahaja, adapun wanita-wanita lain yang ada hubungan nasab dengan wanita
tersebut (ibunya, saudara perempuannya, anak perempuannya) tidaklah mereka
menjadi mahram kita (sama ada usulnya atau furu’nya), mereka hanya menjadi
mahram bapa atau datuk kita sahaja (al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah,
perkataan mahram, 36/213).
ISTERI BERMUSAFIR KE LUAR NEGARA TANPA DITEMANI SUAMI
Soalan; Assalamualaikum Ustaz, saya ada pertanyaan, mengenai isteri musafir keluar negara untuk urusan kerja; Bolehkah isteri travel keluar negara utk urusan kerja tanpa suami menemaninya? terima kasih.
Jawapan;
Para ulamak telah mensepakati bahawa diharamkan wanita keluar bermusafir dengan seorang diri -terutamanya musafir yang jauh-(1). Para ulamak mazhab Hanafi dan Hanbali mensyaratkan; mesti ditemani oleh suami atau mahramnya (yakni bapa, anak lelaki, saudara lelaki atau sebagainya). Mereka berdalilkan sabda Nabi saw;
لاَ تُسَافِرِ المَرْأَةُ إِلَّا مَعَ ذِي مَحْرَمٍ
"Jangan seorang wanita bermusafir melainkan bersama mahramnya" (Soheh al-Bukhari; 1862, dari Ibnu 'Abbas RA).
"Tidak
halal bagi seorang wanita yang beriman dengan Allah dan hari akhirat
untuk bermusafir dengan jarak perjalanan sehari semalan tanpa ditemani
mahramnya" (Soheh al-Bukhari; 1088, dari Abu Hurairah RA).
Menurut mazhab Syafiie dan Maliki; selain dengan suami dan mahram, diharuskan juga wanita keluar bermusafir bersama teman-terman yang dapat memastikan keselamatannya (rufqah makmunah) yang terdiri dari lelaki-lelaki yang dipercayai atau wanita-wanita yang dipercayai, namun
untuk tujuan mengerjakan haji yang wajib sahaja, atau urusan-urusan lain yang wajib di sisi Syariat.(2) Ada ulamak mengharuskan keluar dengan bertemankan seorang sahaja wanita yang dipercayai, dengan syarat perjalanan adalah aman. Malah ada ulamak yang hanya mensyaratkan; perjalanan yang aman sahaja. Imam al-Mawardi berkata; di kalangan sahabat-sahabat kami (yakni ulamak-ulamak mazhab Syafiie) ada yang berkata; jika perjalanan adalah aman/selamat, tidak dikhuatiri berlaku percampuran dengan kaum lelaki bersamanya, harus dia (yakni wanita) keluar bermusafir tanpa ditemani mahram atau wanita yang dipercayai(3). Semua keharusan itu adalah bagi musafir untuk tujuan haji yang wajib (atau kewajipan-kewajipan syarie yang lain). Adapun untuk haji tatawwu' (yakni haji sunat) atau urusan-urusan yang mubah/harus (seperti berziarah, berniaga dan sebagainya), tidak harus keluar melainkan dengan ditemani mahram(4).
Beberapa ulamak semasa hari ini membuka keharusan tersebut kepada semua jenis musafir yang harus (tidak terhad kepada musafir haji dan urusan-urusan wajib syar'ie sahaja), melihat kepada perubahan zaman hari di mana perjalanan dapat ditempuh dengan lebih selamat walaupun amat jauh dan kenderaan juga lebih selamat (bas, keretapi, kapal terbang dan sebagainya).(5) Di antaranya ialah fatwa dari Darul Iftak Mesir (Institusi Fatwa Kerajaan Mesir) yang menegaskan; "Diharuskan bagi wanita untuk bermusafir tanpa ditemani mahram dengan syarat dia dapat memastikan keselamatan dirinya, agama serta kehormatannya di sepanjang perjalanan, di tempat perhentiannya dan juga semasa perjalanan pulang nanti...Dalam Soheh al-Bukhari (dan kitab-kitab hadis lainnya) diceritakan bahawa Nabi SAW pernah bersabda kepada 'Adiyy bin Hatim RA;
فَإِنْ طَالَتْ بِكَ حَيَاةٌ، لَتَرَيَنَّ الظَّعِينَةَ تَرْتَحِلُ مِنَ الحِيرَةِ، حَتَّى تَطُوفَ بِالكَعْبَةِ لاَ تَخَافُ أَحَدًا إِلَّا اللَّهَ
"Jika kamu dikurniakan umur panjang, nescaya kamu akan dapat menyaksikan seorang wanita di atas untanya bermusafir dari Hirah (*di Kufah, Iraq hari ini) menuju (ke Mekah) hingga bertawaf mengilingi Kaabah tanpa takut kepada sesiapapun kecuali Allah" (Soheh al-Bukhari; 3595).
Lafaznya dalam Musnad Imam Ahmad;
فَوَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ، لَيُتِمَّنَّ اللهُ هَذَا الْأَمْرَ، حَتَّى تَخْرُجَ الظَّعِينَةُ مِنَ الْحِيرَةِ، حَتَّى تَطُوفَ بِالْبَيْتِ فِي غَيْرِ جِوَارِ أَحَدٍ
"Demi Allah, Allah akan menyempurnakan urusan agama ini, sehingga seorang wanita di atas untanya bermusafir dari Hirah (menuju ke Mekah) hingga dapat bertawaf di Baitullah tanpa ditemani (dalam musafirnya itu) oleh sesiapapun" (Musnad Ahmad; 18260).
Berdasarkan hadis ini segolongan fuqahak mujtahidin telah memfatwakan bahawa; harus wanita bermusafir seorang diri jika ia selamat (dalam perjalanannya). Adapun hadis-hadis yang lain yang melarang wanita bermusafir berseorangan tanpa ditemani mahramnya ia khusus kepada keadaan ketika tidak wujudnya keamanan (bagi wanita), di mana pada zaman-zaman dahulu, apabila wanita keluar berseorangan tanpa ditemani mahram ia pasti akan terdedah kepada bahaya....Maka fatwa (yang bersesuaian dengan situasi hari ini) ialah; musafir wanita secara berseorangan (tanpa ditemani mahramnya) -dengan menggunakan alat-alat pengangkutan yang selamat dan melalui jalan-jalan yang telah tersedia- bertolak dari pelabuhan atau lapangan terbang serta stesyen-stesyen kenderaan awam, musafir tersebut adalah harus di sisi Syarak dan tidak dilarang, sama ada ianya musafir yang wajib, sunat atau harus. Hadis-hadis yang menegah wanita bermusafir tanpa mahram hendaklah difahami bagi keadaan ketika tidak wujudnya keamanan/keselamatan (bagi wanita), maka ketika wujudnya keamaaan secara sempurna, tidak ada lagi tegahan untuk ia bermusafir dari asalnya"(5).
Untuk panduan lebih jelas, dibawah ini diperturunkan syarat-syarat yang digariskan oleh Syeikh Dr. Ali al-Qurrah Daghi (Setiausaha Kesatuan Ulamak Islam Sedunia) untuk mengharuskan wanita bermusafir tanpa ditemani mahram;
1. Hendaklah musafir itu dipastikan selamat untuk diri wanita itu sendiri. Syarat ini merupakan syarat paling asas.
2. Sebolehnya tidak menyebabkan perlu bermalam di perjalanan (transit) -di hotel atau sebagainya -kerana boleh mengundang fitnah bagi wanita-, kecuali jika situasinya bersesuaian, dengan syarat dia ditemani oleh wanita lain yang dipercayai -sekurang-kurangnya seorang- dan selamat dari fitnah.
3. Hendaklah mempunyai tempat tinggal yang selamat di negeri tempat tujunya.
4. Hendaklah mendapat keizinan dari suami (bagi wanita yang telah berkahwin) atau dari walinya (jika belum berkahwin).
5. Hendaklah sepanjang perjalanan itu ia ditemani oleh wanita lain yang dipercayai -sekurang-kurangnya seorang wanita-.(6)
Wallahu a'lam.
Nota/rujukan;
1. al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (perkataan; safar)
2. al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (perkataan;
rufqah, safar).
3. al-Hawi al-Kabir, Imam al-Mawardi, 4/363.
4. al-Hawi al-Kabir, Imam al-Mawardi, 4/363.
5. Dr. Mustafa az-Zarqa' (lihat; Fatawa Mustafa az-Zarqa', hlm. 276), Dr. 'Ali al-Qurrah ad-Daghi (lihat fatwa beliau dalam laman web beliau; http://www.qaradaghi.com), Syeikh Muhsin al-'Abikan (ulamak Arab Saudi) dan ramai lagi.
5. Laman Darul-Iftak, Mesir (http://www.dar-alifta.org), fatwa bertarikh; 9/7/2012, no. fatwa; 4480.
6. Laman web beliau (http://www.qaradaghi.com), fatawa jadidah (fatwa-fatwa semasa), bertarikh; 16/5/2010.
ADAKAH IBU MERTUA SETARAF IBU SENDIRI? HUKUM MENCERCA IBU MERTUA
Soalan; Assamualaikum ustaz, Saya ingin mohon pencerahan dari ustaz mengenai
Taraf ibu mertua dgn menantu lelaki. Adakah sama seperti ibu kandungnya
sendiri? Sekiranya dia pernah berbuat sesuai yang dianggap kurang ajar
terhadap ibu mertuanya seperti memaki, menghalau sehingga menitiskan air
mata si mertua, adakah dia telah tergolong sebagai telah melakukan dosa
besar juga dianggap anak derhaka & tidak mencium bau syurga seperti
yg selalu kita dgr jika berbuat kepada ibu sendiri. Mohon penjelasan
ustaz.
Sekian terima kasih.
Jawapan; Bismillah. Ibu mertua tidaklah setara dgn ibu kandung sendiri. Namun
bersikap kasar dan biadap kpd ibu mertua tetap berdosa sekalipun tidak
sebesar dosa menderhaka kpd ibu sendiri. Wallahu a'lam.
Soalan2; Terima kasih ustaz atas jawapan. Mohon pencerahan lagi ustaz, apakah
kategori dosa itu ustaz? Dosa kecil atau dosa besar? Apakah benar
kedudukan ibu mertua adalah Selepas ibu kandungnya? Seperkara lagi
ustaz, adakah seorang nenek mempunyai Hak utk berjumpa cucunya?
Sekiranya Hak itu Ada & dinafikan apakah hukumnya ustaz? Terima kasih atas perhatian.
Jawapan; Bismillah.
1. Tidaklah dapat dipastikan kedudukan ibu mertua adalah selepas ibu
kandung tanpa dalil syarak. Setakat ini saya belum bertemu dalil yg
mengesahkan perkara tersebut.
2. Berbuat kejahatan kpd ibu mertua ditegah syarak sama seperti berbuat
jahat kpd org lain, malah tegahan itu lebih kuat krn dua faktor:
a) Ia menyalahi arahan Allah dan Rasul supaya melayani isteri dgn baik,
termasuk dlm pengertiannya ialah melayani keluarga isteri terutama
ibu-bapanya.
b) Bersikap biadap kpd ibu mertua seolah mengajar anak2 supaya bersikap
biadap dgn nenek mereka sendiri, dan mungkin memutuskan silaturrahim
antara mereka.
Adapun kategori dosa -besar atau kecil- ia bergantung kpd jenis
kejahatan. Jika membabitkan cercaan dan makian sbg contohnya, maka ia
adalah dosa besar. Sabda Nabi saw: "Mencerca org Islam adalah fasik dan
nembunuhnya adalah kufur" (Soheh al-Bukhari).
3. Antara nenek dan cucu ada ikatan rahim (silaturrahim). Memutuskan
ikatan rahim adalah dosa besar. Sabda Nabi saw: "Tidak akan masuk syurga
org yg memutuskan hubungan rahim" (Soheh al-Bukhari). Suami yg
menghalang anak2nya dari berhubung dgn nenek mereka tanpa sebab ia
mengajar mereka melakukan dosa besar memutuskan rahim, dan mungkin
berjangkit kpd tidak nenghormati ibu sendiri satu hari nanti.
Wallahu a'lam.
MAKAN MALAM BERSAMA MAJIKAN
SOALAN :
Assalamualaikum,
Yang Terhormat Ustaz,
Apakah hukum bagi seorang wanita yang sudah bersuami yang sering keluar makan malam dengan seorang lelaki yg bukan mahramnya (boss, majikan, atau kawan).
Untuk menutup di tuduh berkhalwat, si istri ini membawa seorang teman wanita untuk menemaninya.
Perkara ini sering berlaku.
Dan sekiranya si istri ini di beri izin suami untuk keluar makan dengan lelaki yg bukan muhrim nya ada kah ini diperbolehkan.
Sekian dan terima kaseh.
JAWAPAN :
Wassalam.
Bismillah, sebarang perkara yang membuka jalan kepada berlakunya kemungkaran wajib ditutup. Setiap orang wajib menjaga diri dari terjerumus ke dalam kemungkaran.
Seorang suami pula wajib menjaga isterinya atau anak perempuannya dari terjerumus dalam kemungkaran. Oleh itu, tidak harus dia membenarkan isteri atau anak perempuannya bebas keluar dengan lelaki yang bukan mahram mereka.
Firman Allah; "Wahai orang beriman, jagalah dirimu dan ahli keluargamu dari api neraka" (surah at-Tahrim, ayat 6).
Wallahu a'lam
MAJIKAN BERSAMA PEMBANTU RUMAH KETIKA KETIADAAN ISTERI
Soalan : Assalamualaikum
Mohon penjelasan ttg kedudukan seorang majikan lelaki bersama pembantu rumah di dalam rumahnya ketika ketiadaan isterinya di rumah, tetapi terdapat anak2 yg masih kecil. Adakah boleh dianggap khulwah/khalwat?
Jawapan:
Bismillah,
Ya, dianggap khalwat kerana Nabi SAW bersabda; "Janganlah seorang lelaki bersunyian (berkhalwat) dengan seorang wanita kecuali disertai mahramnya (yakni mahram wanita itu)" (Soheh al-Bukhari; 1862. Muslim; 1341).
Perbuatan tersebut boleh menimbulkan keraguan dan mendorong kepada berlakunya zina. Kehadiran anak-anak yang masih kecil tidak menggugurkan hukum tersebut kerana kewujudan mereka tidak dapat menutup keraguan dan tidak menghalang dari zina. Wallahu a'lam.
SUAMI ENGGAN BERKERJA DAN MENGABAIKAN NAFKAH
SUAMI ENGGAN BERKERJA DAN MENGABAIKAN NAFKAH
Soalan
Apakah hukum nya kalau seorang suami yg masih muda dan cergas lagi menggangur. Beliau tidak langsung mahu mencari pekerjaan sunnguh pun sang isteri sudah berkali2 menasihatkan dia untuk cari apa saja kerja tidak kira pendapatan atau gaji nya kecil dari gaji istri.
Sang isteri yang bekerja terpaksa membiayai semua perbelanjaan rumah dan anak termasuk makan minum suaminya walau pun pendpatan isteri kecil.
Jawapan;
Bismillah,
1. Apabila seorang lelaki telah berkahwin dan berkeluarga, wajib dia menanggung nafkah isteri (*sekalipun isteri kaya atau bergaji) dan juga anak-anaknya mengikut yang sepatutnya, merangkumi tempat tinggal, belanja makan, pakaian dan sebagainya dari keperluan hidup.
Sabda Nabi SAW; “Ketahuilah bahawa hak mereka (yakni isteri-isteri kamu) ke atas kamu (yakni yang mesti kamu tunaikan) ialah kamu menyediakan dengan baik (keperluan) makanan dan pakaian untuk mereka” (Sunan at-Tirmizi; 1163, dari ‘Amru bin al-Ahwash RA. Menurut at-Tirmizi; hadis hasan soheh).
Oleh itu, amat perlu seorang suami mempunyai pekerjaan atau sumber pendapatan yang membolehkannya menunaikan kewajipan memberi nafkah tersebut.
2. Isteri sekalipun kaya dan bergaji, tidak dituntut menanggung nafkah dirinya dan keluarga (termasuk membiayai perbelanjaan rumah dan anak-anak) kerana itu adalah tanggungjawab suami. Suami tidak berhak memaksa isteri membelanjakan wangnya atau gajinya untuk perbelanjaan keluarga, kecuali dengan kerelaan isteri untuk membantu suami. Keengganaan isteri dalam hal ini tidak dianggap nusyuz.
3. Atas sebab pengabaian nafkah oleh suami, isteri berhak menuntut cerai dari suami atau membuat tuntutan kepada Qadhi.
Wallahu a’lam.
AURAT DAN PERKAHWINAN ANTARA ADIK BERADIK TIRI
AURAT DAN PERKAHWINAN ANTARA ADIK BERADIK TIRI
Soalan
Seorang janda yang mempunyai anak lelaki berkahwin dengan duda yang mempunyai anak perempuan
-apakah ada aurat antara adik beradik tiri tersebut?
-bolehkah adik beradik tiri tersebut berkahwin?
sekian,terima kasih....
Jawapan;
Bismillah,
1. Di antara adik beradik tiri tidak ada sebarang ikatan mahram. Mereka adalah ajnabi dan anjabiyah antara satu sama lain. Oleh itu, wajib menutup aurat sesama mereka (*termasuk memakai tudung), tidak harus mereka berduaan dan tidak harus bersalaman. Kerana tiada ikatan mahram, mereka berdua boleh berkahwin.
2. Ikatan mahram hanyalah antara bapa dan anak tirinya, dan antara ibu dan anak tirinya. Apabila seorang lelaki mengahwini seorang wanita dan ia mensetubuhi wanita itu, haram selepas itu dia mengahwini anak perempuan wanita itu (yakni anak tirinya). Larangan disebut Allah dalam surah an-Nisa’ (bermaksud); “Dan (turut diharamkan ke atas kamu mengahwini) anak-anak isterimu yang dalam pemeliharaanmu dari isteri yang telah kamu setubuhi, tetapi jika kamu belum setubuhinya, maka tidak berdosa kamu mengawini (anak perempuannya, iaitu setelah kamu ceraikan ibunya)” (Surah an-Nisa’, ayat 23).
Begitu juga, haram mengahwini ibu tiri. Di dalam al-Quran Allah melarang seorang lelaki mengahwini wanita yang pernah dikahwini bapanya. “Dan janganlah kamu kawini wanita yang pernah dikahwini oleh ayahmu” (Surah an-Nisa’, ayat 22).
Wallahu a’lam.
Bapa Mertua Tidak Solat
Soalan.
Ustaz, sejak perkahwinan saya, bapa mertua saya tidak pernah solat. Bagaimana saya nak tegur beliau? Terima kasih ustaz.
Jawapan.
Bismillah,
1. mohon kepada Allah supaya Dia membuka pintu hati bapa mertua saudara, jgn jemu berdoa.
2. Ada ruang tunaikan solat di rumah agar menjadi contoh dan semoga bapa mertua saudara terfikir tentang dirinya yang tidak solat.
3. Jika ada ruang untuk mengajaknya ke majlis ilmu, ajaklah.
4. Jika ada orang yang diseganinya, berbincanglah dengan orang itu, minta dia menyampaikan nasihat kepada mertua saudara.
wallahu a'lam.
HUKUM ISTERI TURUT SAMA MENANGGUNG BELANJA RUMAH
Soalan; Assalamualaikum. Sy ada sedikit kekeliruan
tentang nafkah. Semasa di awal perkahwinan, sy pernah memberitahu suami bahawa
sy akan membantu suami untuk membayar bil2 utiliti untuk mengurangkan beban
suami. Kadang2 sy turut mengeluarkn wang untuk membeli belanja seharian.
Setelah beberapa tahun berkahwin, sy dapati pendapatan suami telah meningkat
dan sy yakin suami boleh menggunakan wang tersebut untuk membayar bil2
tersebut. Masalahnya adalah sekarang suami seolah2 menganggap sy wajib membayar
bil2 rumah dan kadangkala turut mengatakan ayat bahawa asyik dia sahaja yang
mengeluarkan wang belanja rumah, minyak kereta dan sebagainya. Apabila sy
memberitahu itu adalah tanggungjawabnya sebagai suami, dia akan mengungkit
bahawa dia telah banyak mengeluarkan duit sendiri. Apakah hak sy sebagai isteri
dlm permasalahan ini? Mintak penjelasan ustaz. Terima kasih.
Jawapan;
Bismillah, walhamdulillah, wassolatu ala Rasulillah.
1. Nafkah bagi kehidupan suami-isteri (iaitu
belanja-belanja keperluan hidup untuk mereka) adalah tertanggung sepenuhnya di
atas bahu suami. Ia adalah kewajipan suami yang ditetapkan Syariat. Sabda Nabi
SAW; “Wajib atas kamu (para suami) menyediakan untuk mereka (yakni
isteri-isteri kamu) rezki mereka dan pakaian mereka mengikut kebiasaannya” (Soheh
Muslim; 1218. Abu Daud; 1905, dari Jabir bin Abdullah RA). Menurut ulamak;
maksud rezki dalam hadis ialah nafkah hidup merangkumi makanan, pakaian, tempat
tinggal dan sebagainya. Hukumnya adalah wajib atas suami.[1]
Berkata Imam an-Nawawi; terkandung dalam hadis ini kewajipan (suami) menafkahi isteri
dan menyediakan pakaian untuk mereka. Hukum ini telah diijmakkan oleh ulamak”.[2]
2. Digalakkan isteri membantu suami, namun bukan atas
dasar kewajipan , tetapi semata-mata ihsan darinya sahaja. Para suami perlu
menyedari hakikat ini. Tidak harus mereka memaksa isteri untuk turut sama
menanggung nafkah keluarga. Isteri yang engkar kepada arahan suami dalam
perkara tersebut tidak dianggap sebagai nusyuz di sisi Syariat. Dalam hal ini
suami tidak harus menggunakan kuasa vetonya, sebaliknya mengesyorkan secara
baik kepada isteri. Isteri pula jangan keberatan membantu kewangan suami selagi
termampu kerana wang/harta yang dibelanja untuk suami dan keluarga akan diberi
dua pahala/ganjaran oleh Allah; pahala sedekah dan pahala qarabah. Ini
sebagaimana sabda Nabi SAW –tatkala baginda ditanya berkenaan isteri yang
membelanjai suami dan anak-anaknya-; “Untuknya dua pahala; pahala qarabah
(mengeratkan ikatan keluarga) dan pahala sedekah” (Soheh al-Bukhari; 1466.
Muslim; 1000).
3. Apabila suami mengizinkan isteri untuk keluar
berkerja, pendapatan isteri adalah milik penuhnya. Tidak harus diambil suami
melainkan dengan persetujuannya. Kecuali jika suami mengsyaratkan sebahagian
pendapatan hendaklah digunakan untuk belanja rumah sebagai tukaran kepada
keizinan yang diberinya untuk keluar berkerja, ketika itu isteri terikat dengan
syarat tersebut. Nabi SAW bersabda; “Orang Islam terikat dengan syarat (yang
dipersetujui) sesama mereka kecuali syarat yang mengharamkan yang halal atau
menghalalkan yang haram” (as-Sunan al-Kubra, al-Baihaqi; 11430, dari ‘Amru bin ‘Auf
al-Muzani RA). Tanpa syarat tersebut, kewajipan nafkah sepenuhnya atas suami.[3]
[3]
Fatawa Syeikh Muhammad Soleh al-Munajjid (2686).
NAFKAH ANAK KEMATIAN BAPA
Soalan;salam ustaz, sy nak tanya
soalan, siapakah yang wajib bertanggungjawab (dari segi nafkah) ke atas anak2
yang kematian bapa? ibu masih ada tetapi kurang kemampuan
Jawapan;
Bismillah walhamdulillah wassolatu ala Rasulillah,
Dalam surah al-Baqarah (ayat 233) Allah menegaskan; “Dan
kewajipan bapa ialah menanggung nafkah
dan pakaian mereka dengan cara yang berpatutan…Ahli waris pun (berkewajipan)
seperti itu juga”.
Berdasarkan ayat
ini para ulamak menyimpulkan bahawa; kewajipan nafkah asalnya tertanggung di
atas bahu bapa. Jika bapa tidak mampu atau mati, nafkah si anak ditanggung oleh
waris-waris si anak (iaitu kerabat-kerabatnya yang akan mewarisi darinya)
merangkumi ibunya sendiri, datuknya, neneknya, saudaranya, bapa saudaranya dan
sebagainya lagi yang dapat mewarisi darinya. Jika waris ramai, tanggungan
nafkah wajib dikongsi mengikut kadar pewarisan masing-masing. Sebagai
contohnya; jika si anak hanya mempunyai nenek dan saudara lelaki sahaja, maka
nenek wajib menanggung 1/6 nafkahnya dan saudara lelaki pula nafkah selebihnya
iaitu mengikut kadar pewarisan mereka. Ini merupakan pandangan mazhab Hanbali
berdalilkan ayat di atas.
Menurut mazhab
Syafiie; nafkah anak wajib di tanggung oleh usul-usulnya (iaitu bapa, ibu,
datuk, nenek hingga ke atas) dengan didahulukan usul lelaki ke atas usul
perempuan. Selama masih ada usul lelaki (bapa, datuk hingga seterusnya), nafkah
tidak ditanggung oleh usul perempuan (ibu, nenek hingga seterusnya). Bagi anak
yang kematian bapa atau bapanya tidak mampu, nafkahnya wajib ditanggung oleh datuknya,
diikuti oleh bapa kepada datuknya hinggalah seterusnya ke atas. Yang lebih
dekat didahulukan dari yang jauh. Jika si anak mempunyai datuk dan juga bapa
kepada datuknya, nafkahnya wajib ditanggung oleh datuk kerana ia lebih dekat.
Jika sama-sama dekat (seperti si anak mempunyai datuk sebelah bapa (iaitu bapa
kepada bapanya) dan juga datuk sebelah ibu (iaitu bapa kepada ibunya), kewajipan
nafkah dikongsi bersama. Apabila tidak ada lansung datuk atau datuk yang ada
tidak mampu, barulah kewajipan nafkah berpindah kepada usul-usul perempuan
(iaitu ibu atau nenek atau yang lebih atas).
Perlu disebutkan;
kewajipan menanggung nafkah orang lain tertakluk kepada kemampuan. Jika tidak
mampu, tidaklah seseorang itu dibebani oleh Syarak untuk menanggung nafkah
orang lain sedang nafkahnya sendiri tidak tertanggung. Hal ini telah disepakati
ulamak. Maksud kemampuan itu ialah mempunyai lebihan setelah ditolak keperluan
diri sendiri sama ada dari hartanya sedia ada atau dari pendapatannya. Sabda
Nabi SAW; ““Mulailah dengan diri kamu, bersedekahlah kepada diri kamu.
Jika ada lebihan, maka untuk isteri kamu. Jika ada lebihan lagi, maka untuk
ahli kerabat kamu. Jika ada suatu lebihan lagi setelah itu, maka untuk begini
dan begini; yakni untuk orang di hadapan kamu, di kanan dan kiri kamu” (Soheh
Muslim; 997, dari Jabir RA).
Soalan;Assalamualaikum
wrwb. Saya dan isteri telah bercerai. Kini bekas isteri saya telahpun berkahwin
lain. Setelah bercerai, saya telah memfailkan tuntutan hak penjagaan anak anak
di Mahkamah Syariah atas alasan bekas isteri telahpun berkahwin semula, bekas
isteri telah mengabaikan anak anak dan berkelakuan buruk. Akan tetapi, Mahkamah
sebaliknya mengambil jalan yang mudah dan memerintahkan supaya hak jagaan anak
anak ditentukan dengan pilihan anak anak sahaja. Anak anak kini berumur 11
tahun (perempuan) dan 8 tahun (lelaki). Dari segi hukum syarak adakah pilihan
anak anak itu lebih diutamakan dalam penentuan hadhanah? Sekian terima kasih.
Jawapan;
Bismillah, walhamdulillah, wassolatu ala Rasulillah.
Anak yang telah mencapai umur 7 tahun ke atas atau umur mumayyiz,
jika kedua ibu dan bapanya mencapai persetujuan untuk ia dijaga oleh mana-mana
seorang dari mereka, persetujuan itulah yang dipakai. Namun jika mereka saling
menuntut hak jagaan, maka diberi pilihan kepada anak untuk memilih antara
mereka berdua. Siapa yang dipilih oleh si anak, dialah yang paling berhak
memeliharanya. Pandangan ini berdalilkan hadis dari Abu Hurairah RA yang
menceritakan; ‘Seorang wanita datang kepada Nabi SAW dan berkata; ‘Ya
Rasulullah, suamiku ingin membawa pergi anak lelakiku ini. Sesungguhnya dialah
yang membantuku mengangkut air dari perigi Abi ‘Inabah[1]dan ia membawa manfaat kepadaku. Lalu Nabi
SAW berkata kepada budak itu; “Ini adalah bapamu dan ini pula adalah ibumu.
Peganglah tangan mana satu dari mereka berdua yang kamu suka”. Lalu ia memegang
tangan ibunya dan ibunya pun membawanya pergi’ (Sunan Abu Daud: 2277, soheh). Jika
si anak memilih kedua-dua mereka atau dia tidak memilih sesiapapun antara mereka
berdua, hendaklah dibuat undian.
Namun menurut ulamak; hak memilih itu diberikan kepada anak
dengan syarat si anak mampu membuat pilihan yang tepat untuk maslahat dirinya
dan kedua-dua ibu dan bapa memiliki kelayakan untuk menjaganya mengikut
penilaian Syariat. Jika tidak, maka qadhi atau hakim berhak menentukan siapa
yang paling layak menjaganya tanpa tertakluk dengan pilihannya. Kesimpulannya,
dalam menentukan hak jagaan, maslahah si anak itu yang menjadi ukuran utama.
Adapun anak yang belum mumayyiz, maka ia tertakluk kepada
hukum-hakam hadhonah (asuhan). Sila baca tentangnya dalam jawapan saya sebelum
ini; (http://ilmudanulamak.blogspot.com/2010/07/hak-hadhonah.html).
2. at-Talaq, Dr. Muhammad Ibrahim al-Hifnawi, hlm.
443-446.
3. Tamam al-Minnah, Syeikh ‘Adil al-‘Azzazi, 3/268.
[1]
Sebuah perigi yang jauhnya dari Madinah satu mil.
WANITA DALAM EDDAH KEMATIAN SUAMI; HUKUM KELUAR BERKERJA DAN BERHIAS
Soalan; Assalamualaikum Ustaz, boleh ustaz jelaskan,
apakah hukum nya, seorang isteri yang kematian suami, berhias untuk ke tempat
kerja? Dia berhias bukan berniat untuk berkahwin lain tetapi berhias untuk diri
sendiri. Memandang kan saya berhias kerana faktor kerja. Harap ustaz dapat
memberi jawapan pada soalan saya ini, Terima ksih, assalamualaikum.
Jawapan;
Bismillah, walhamdulillah,
wassolatu ala Rasulillah.
Soalan di atas merangkumi
dua hukum;
1. Hukum keluar berkerja
2. Hukum berhias
Bagi hukum pertama; dibolehkan
wanita yang kematian suami untuk keluar berkerja (atau untuk urusan-urusan lain
yang perlu) asalkan ia pulang untuk bermalam di rumah suaminya selama masih dalam
eddah (4 bulan 10 hari dari tarikh kematian suami, atau hingga melahirkan anak
jika ia hamil). Menurut jumhur ulamak; diwajibkan ke atas isteri yang kematian
suami untuk terus tinggal di rumah suaminya[1],
tidak keluar darinya melainkan untuk berkerja –jika ia seorang wanita
berkerjaya- atau untuk menguruskan keperluan-keperluannya. Kewajipan itu
berterusan hingga tamat eddahnya. Dalilnya ialah sabda Nabi SAW kepada Fari’ah
binti Malik RA (seorang wanita sahabat yang baru kematian suami); “Teruslah
tinggal di rumahmu –iaitu rumah yang menjadi kediamanmu ketika datangnya berita
kematian suamimu- sehingga berakhir eddahmu”. Berkata Fari’ah RA; ‘Aku bereddah
di rumah itu sehingga 4 bulan 10 hari’ (Musnad Imam Ahmad; 27087. Sunan Abu
Daud; 2300. Status hadis; isnadnya hasan).
Bagi hukum kedua;
diharamkan ke atas wanita yang kematian suami untuk berhias selama dalam eddah
itu. Perhiasan yang dilarang merangkumi; perhiasan diri (berinai, bersolek dan
sebagainya), perhiasan pada pakaian dan juga barang-barang kemas (cincin/gelang
emas atau perak, batu-batu permata dan sebagainya). Dalilnya ialah sabda Nabi
SAW; “Wanita yang kematian suami; janganlah ia memakai pakaian yang dicelup
dengan mu’asfar (pencelup berwarana kuning) atau misyq (pencelup berwarna
merah), jangan ia memakai perhiasan (barang-barang kemas), janganlah ia mewarnai
diri (*seperti berinai dan sebagainya), dan jangan ia bercelak” (Musnad Ahmad;
26581. Sunan Abu Daud; 2304. Dari Ummu Salamah RA. Status hadis; isnadnya
soheh).
Dalam hadis lain, Nabi SAW
bersabda; “Janganlah wanita berkabung atas suatu kematian melebihi 3 hari,
kecuali atas kematian suaminya iaitu 4 bulan 10 hari,[2]
dan janganlah ia memakai pakaian yang dicelup (bercorak dan berwarna-warni),
jangan bercelak dan jangan memakai wangian kecuali setelah bersuci dari haid;
dibolehkan sedikit sahaja (untuk menghilangkan bau tidak enak pada faraj)”
(Soheh Muslim; 938/66, dari Ummu ‘Atiyah RA).
Menurut ulamak; maksud
larangan pakaian bercelup itu ialah yang dicelup untuk tujuan menghiasnya, jadi
maksud larangan itu ialah; memakai pakaian yang berhias (bercorak dan berwarna
warni). Maka wanita dalam eddah kematian suami hendaklah memakai pakaian yang
biasa-biasa sahaja, berwarna apa sekalipun, asalkan tidak bercorak dan
berwarna-warni dan tidak kelihatan tujuan untuk berhias. Tidak ditegah berpakaian
elok. Tidak ada nas mewajibkan pakaian berwarna hitam atau yang mensunatkannya.
Tidak ditegah memotong
kuku, membersih diri, mencabut bulu ketiak, mencukur bulu ari-ari, menyisir
rambut dan sebagainya kerana tiada dalil melarangnya. Turut tidak dilarang ialah
mengemas rumah, menyembur pewangi rumah dan seumpamanya kerana yang dilarang
ialah perhiasan dan wangian di badan sahaja.
Kesimpulannya; harus bagi
isteri yang kematian suami untuk keluar berkerja semasa dalam eddahnya, namun
janganlah ia berhias.
Wallahu a’lam.
Rujukan;
1. Syarah Ibnu Qasim, hlm.
172.
2. at-Talaq, Dr. Muhammad
Ibrahim al-Hifnawi, hlm. 420-426.
3. Tamam al-Minnah, Syeikh
‘Adil al-Azzazi, 3/230-240.
4. Fatawa ‘Ulama al-Balad
al-Haram, hlm. 673.
5. Hasyiyah al-Baijuri ‘Ala
Ibni Qasim, 2/180.
6. Syarah Soheh Muslim,
Imam an-Nawawi; 10/116.
[1]
Iaitu kediamannya bersama suami ketika berlaku kematian suami. Tidak harus ia
diusir keluar dari rumah itu dan begitu juga, tidak harus ia keluar dengan tindakan
sendiri. Disyaratkan rumah itu sesuai didiaminya. Jika tidak sesuai didiaminya
atau ia khuatir membahayakan dirinya dan anak-anaknya, harus ia keluar dari
rumah itu ke rumah lain sekalipun belum tamat eddah. (lihat; Syarah Ibnu Qasim,
hlm. 172).
[2]
Hukum berkabung (ihdad) di atas kematian suami adalah wajib dengan ijmak
ulamak. Tempohnya ialah hingga tamat eddah iaitu 4 bulan 10 hari bagi yang
tidak hamil. Bagi yang hamil pula, hingga melahirkan anak (Tamam al-Minnah,
3/234). Adapun berkabung di atas kematian orang lain, harus sahaja hukumnya
(tidak wajib). Tempohnya; tidak lebih 3 hari (Tamam al-Minnah; 3/234. Syarah
Abi Qasim, hlm. 172).
MAKNA KHALWAT, HUKUM WANITA MENERIMA TETAMU LELAKI
Soalan; Salam ustaz.. saya mohon
pencerahan dr ustaz.. Begini, 3 org sahabat zaman sekolah saya menyinggah ke
rumah kampung saya sebentar td. mereka sempat bersolat maghrb dan isya' serta
djamukan dgn sedikit maknn oleh ibu, nenek dan ibu saudara saya. Namun, sgt mngejutkan
bila usai solat isya datuk saya yg baru pulang dr surau mula me'negur' sahabat2
saya. beliau (datuk) menegaskan bahawa beliau tidak ingin bersubahat bersama
kerana haram sekumpulan lelaki menziarah seorang wanita bukan mahram. Sungguh
saya malu dgn tindakan datuk menegur sahabat saya yang dtg menziarah. Soalan
saya apakah benar Islam tidak membenarkan had ziarah-menziarahi sebegini?
terima kasih atas perhatian ustaz.
Jawapan;
Bismillah, walhamdulillah, wassolatu ala Rasulillah.
Nabi SAW menegah lelaki ajnabi* dan wanita ajnabiyah* berduaan sebagaimana sabdaNya; “Janganlah seorang lelaki
bersunyian dengan seorang wanita (yang bukan mahramnya), dan janganlah seorang
wanita bermusafir kecuali dengan disertai oleh mahramnya” (Soheh al-Bukhari; 3006. Soheh
Muslim; 424/1341. Dari Ibnu ‘Abbas RA).(*ajnabi/ajnabiyah; yang asing, iaitu tiada ikatan mahram).
Istilah berduaan/bersunyian hilang
apabila dihadiri bersama oleh orang lain. Oleh itu, para ulamak (antaranya Imam
an-Nawawi) menfatwakan; jika perjumpaan antara lelaki dan wanita disertai oleh
orang lain sama ada oleh lelaki yang menjadi mahram wanita itu (bapanya,
abangnya, anaknya yang telah baligh dan sebagainya), atau wanita yang menjadi
mahram lelaki tersebut (ibunya, kakaknya atau sebagainya), atau dihadiri
bersama oleh wanita lain yang dipercayai yang menemani (seperti kes di atas; si
yang bertanya ditemani oleh ibu, nenek dan ibu saudara), maka perjumpaan itu
dibolehkan pada hukum Syarak kerana ia terkeluar dari makna khalwah
(berduaan/bersunyian) yang dilarang Nabi SAW dalam hadis tadi.[1] Namun ia terikat dengan syarat; aman dari fitnah dan keraguan.[2]
Maka yang diharamkan ialah; berduaan/bersunyian antara seorang lelaki dan
seorang wanita (keduanya ajnabi) tanpa dihadiri orang ketiga bersama
mereka. Menurut Imam an-Nawawi; keharamannya telah diijmakkan ulamak. Menurut
beliau lagi; turut diharamkan ialah jika yang hadir bersama mereka itu ialah
lelaki yang tidak disegani oleh mereka kerana masih kecil seperti anak berusia
dua atau tiga tahun atau seumpamanya kerana kewujudannya sama seperti tiada.
Begitu juga, turut diharamkan ialah jika berhimpun ramai lelaki dengan seorang
wanita. Adapun jika berhimpun seorang lelaki dengan ramai wanita, mengikut
pandangan yang soheh; dibolehkan (*dengan syarat tadi, iaitu; aman dari fitnah
dan keraguan). (Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi).
Merujuk kepada soalan, maka diboleh
seorang wanita menerima tetamu-tetamu lelaki dirumahnya dengan syarat mematuhi
hukum-hakam dan adab yang telah ditetapkan Syariat, antaranya;
1. Dihadiri oleh orang lain yang
disegani sebagaimana dijelaskan tadi
2. Tidak membuka aurat
3. Selamat dari fitnah dan keraguan
4. Menjaga adab-adab pergaulan lelaki
dan perempuan; tidak berlaku ikhtilat.
POLIGAMI; TIDAK BERLAKU ADIL KERANA TERIKAT PERJANJIAN
Soalan; Assalammualaikum.Saya ingin bertanya satu soalan. Kawan saya
merupakan isteri kedua, baru2 ini berlaku sedikit pertengkaran berkaitan
tanggungjawab suami. Si isteri ingin lebih perhatian malangnya Si suami
tetap menyatakan tidak dapat memberikannya kerana itu sudah termasuk
dalam perjanjian yg telah sama persetujui.
Jawapan;
Bismillah walhamdulillah wassolatu ala Rasulillah,
Suami yang
berpoligami wajib berlaku adil kepada kesemua isterinya. Sebarang syarat
atau perjanjian dengan mana-mana pihak untuk menafikan hak pihak yang
lain, syarat atau perjanjian sebegitu tidak sah di sisi syarak, wajib
dibatalkan dan hendaklah kembali kepada tuntutan syarak kerana kehendak
Allah mesti diutamakan dari kehendak manusia. Firman Allah (yang
bermaksud); "Berlaku adillah kerana adil itu lebih hampir kepada
ketaqwaan" (al-Maidah, ayat 8). Sabda Nabi SAW (bermaksud); "Mana-mana
lelaki yang memiliki dua isteri, lalu ia hanya cenderung kepada salah
seorang sahaja dari mereka berdua, hari akhirat nanti ia akan tampil
dalam keadaan senget sebelah badannya" (Sunan ad-Darimi: 2252. Abu Daud:
2133. dari Abu Hurairah RA, isnadnya soheh). Sabda Nabi SAW
tentang syarat; "Sebarang syarat yang bertentangan dengan kitab Allah ia
tertolak sekalipun 100 kali disyaratkan" (Musnad Ahmad; 25504, dari
Aisyah RA, hadis soheh).
Wallahu a'lam.
ADAKAH SYURGA BERPINDAH KE BAWAH TAPAK KAKI SUAMI SETELAH BERKAHWIN?
Soalan; Assalamualaikm
w.b.t. Saya ade soalan mengenai syurga bagi seorang wanita. Semua tahu yang
syurga bagi anak lelaki adalah dibawah tapak kaki ibu, yang wanita pula, sebelum
berkahwin syurganya dibawah tapak kaki ibu mereka tetapi bila sudah berkahwin,
syurga mereka dibawah tapak kaki suami mereka, betul? Betulkan saya jika saya
salah. Disini saye mempunyai situasi yang memusykilkan saya. ade seorang
individu ini,seorang wanita dan beliau sudah berkahwin,dan yang menghampakan
dan memusykilkan kepala saya, sesudah berkawin, tingkah
laku,perbuatan,perangainya terhadap ibu nya sangat tidak ber adab dan sangat
"kurang ajar". dan apabila saya bertanya kepadanya,mengapa beliau
berbuat demikian sedangkan ibunya melayannya dengan penuh kasih sayang,ibunya
menangis setiap hari dan perkara itu sangat menyentuh hati saya,dan jawapan
beliau terhdap soalan saya tadi ialah beliau berkata bahawa "syurga aku
dibawah tapak kaki suami,bukan tapak kaki ibu lagi" saya sangat kasihan
akan ibunya. Adakah boleh sebegitu tindakan wanita tadi? ataupun ade solution
disebalik permasalahan ini dan hukum bagi situasi tersebut,saya harap ustaz
dapat meleraikan kekusutan saya ini. Wasalam.
Jawapan
Bismillah
walhamdulillah wassolatu ala rasulillah.
Kawan saudara itu telah tersalah ilmu tentang hakikat sebenarnya. Seorang anak
(lelaki atau wanita) tetap wajib menghormati ibu-bapanya, wajib berbakti kepada
mereka, menjaga silaturrahim dengan mereka, mendoakan mereka dan menafkahi
mereka (jika mereka miskin) sekalipun dia telah berkahwin. Hanya jika
bertembung antara perintah suami dan perintah ibu-bapa, maka perintah suami
wajib didahulukan kerana haknya lebih besar. Hal itu tiada kaitan dengan kewajipan-kewajipan
terhadap ibu-bapa yang mesti diteruskan sekalipun telah berkahwin.
Firman Allah (bermaksud); “Dan
Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya
semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa” (Surah al-Isra’,
ayat 23).
“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada
kedua ibu bapanya…” (Surah Luqman, ayat 14).
“…bersyukurlah kepadaKu
dan kepada kedua ibubapamu” (Surah Luqman, ayat 14).
“…maka janganlah engkau
berkata kepada kedua ibu-bapamu (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan
‘Ha’ dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada
mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)…” (Surah al-Isra’, ayat 24).
“…Dan hendaklah engkau
merendah diri kepada kedua ibu-bapamu kerana belas kasihan dan kasih sayangmu…”
(Surah al-Isra’, ayat 24).
“…dan doakanlah (untuk
kedua ibu-bapamu, dengan berkata): Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada
mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara
dan mendidikku semasa kecil” (Surah al-Isra’, ayat 24).
Sekalipun telah berkahwin, perintah Allah dalam ayat-ayat di atas terus berjalan
dan wajib dipatuhi oleh anak sama ada lelaki atau perempuan. Tidak harus sama
sekali menderhakai mereka kerana Nabi SAW bersabda; "Dosa-dosa paling
besar ada empat;
1. Mensyirikkan Allah,
2. Menderhakai dua ibu-bapa,
3. Membunuh
4. Bersaksi palsu"
(Soheh al-Bukhari; 2653, dari Anas RA).
Kesimpulannya,
sekalipun telah berkahwin, seorang anak perempuan tetap wajib menghormati
ibu-ayahnya, menghubung silaturrahim dengan mereka, merendah diri di hadapan
mereka, berbaik dengan mereka dan berbakti kepada mereka mengikut kemampuannya.
Tidak boleh sekali-kali bersikap biadap dengan mereka atas alasan telah
berkahwin. Ayat-ayat Allah tadi yang memerintahkan anak agar berbuat baik
kepada ibu-bapa, berterima kasih kepada mereka, menjaga tutur kata dengan
mereka dan merendah diri kepada mereka, ayat-ayat tersebut tiada siapa dapat
mengubahnya termasuk suami. Sampai bila-bilapun syurga tetap di bawah tapak
kaki ibu-bapa dan keredhaan Tuhan berada pada keredhaan Ibu-bapa.
Sabda Nabi SAW; “Jagalah kedua
ibu-bapamu kerana Syurga di bawah kaki kedua mereka” (Hadis riwayat Imam
at-Thabrani dengan sanad yang baik. Lihat; al-Muntaqa, Dr. Yusuf al-Qaradhawi,
hadis no. 1475).
Sabda baginda juga; “Keredhaan
Tuhan berada pada keredhaan Ibu-bapa dan kemurkaan Tuhan berada pada kemurkaan
ibu-bapa” (Hadis riwayat Imam at-Tirmizi dan al-Hakim dari ‘Abdullah bin ‘Amru
r.a.. Menurut as-Suyuti; hadis ini adalah soheh. Lihat; al-Jami’ as-Saghier,
hadis no. 4456).
Wallahu
a'lam.
BERJIMAK KETIKA DALAM ‘IDDAH
Soalan; Assalammualaikum
ustaz..Saya nak bertanya jika seorang isteri telah diceraikan dan semasa dalam
eddahnya dia masih bersama lagi dengan suaminya apakah hukumnya dan adalah itu
dikira suami sudah rujuk kepada isterinya semula. Oleh yang demikian isteri
takut untuk memberitahu sesiapa dan selepas eddah barulah isteri barani
menyuarakannya.. apakah hukumnya ustaz? Mohon jawapan dari ustaz.
Jawapan;
Menurut mazhab Syafiie;
rujuk mesti dengan ucapan rujuk dari suami. Tidak sah niat rujuk tanpa ucapan
rujuk. Begitu juga tidak sah rujuk dengan perbuatan (iaitu mensetubuhi isteri
atau sebagainya). Jadi menurut mazhab Syafiie; berjimak ketika dalam 'iddah
tidak dikira sebagai rujuk dan perbuatan tersebut adalah dosa besar kerana
melakukan jimak setelah penceraian dan belum merujuk[1].
Menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami; “Antara dosa besar ialah mensetubuhi isteri
yang ditalak raj’ie sebelum merujuknya bagi orang yang meyakini keharamannya”
(az-Zawajir, dosa besar ke 284). Turut diharamkan ialah melihat auratnya,
menyentuhnya dan berdua-duaan dengannya. Oleh itu, suami hendaklah keluar dari
rumah apabila ia menceraikan isterinya kecualilah jika rumahnya besar dan ada mahram
isterinya yang tinggal serumah di mana mahram itu disegani oleh suami, maka
haruslah suami tetap tinggal di dalam rumah yang sama.
Kecualilah jika seseorang
itu bertaqlid dengan mazhab Hanafi, di mana menurut mazhab Hanafi; rujuk boleh dengan ucapan dan boleh juga
dengan perbuatan (iaitu mensetubuhi, mencium, menyentuh, melihat dan sebagainya).
Apabila seorang suami mensetubuhi isteri yang dicerainya dengan talak raj’ie –dan
masih dalam iddahnya-, perbuatannya itu dikira rujuk sama ada ia ada berniat
rujuk atau tidak. Begitu juga dengan mencium, menyentuh dan melihat farajnya
dengan syahwat (yakni dikira sebagai rujuk).[2]
Oleh itu, menurut mazhab Hanafi; ketika dalam iddah suami masih boleh
beristimta’ (berseronok) dengan isteri yang dicerainya –cerai talak raj’ie-
atau berduaan dengannya (tinggal serumah) atau menyentuhnya atau melihat auratnya,
kerana selagi belum tamat iddah ia masih dalam hukum isteri di mana suami
berkuasa merujuknya pada bila-bila masa tanpa perlu persetujuannya. Dengan berlaku
perbuatan-perbuatan tersebut (dengan disertai syahwat) terhasillah rujuk secara
otomatik.
[1]
Akad nikah mengharuskan istimta’ (berseronok dengan isteri), sedang penceraian
(talak) pula membatalkannya, kerana itu diharamkan beristimta’ dengan isteri yang
diceraikan semasa dalam iddahnya sebelum ia dirujuk (at-Talaq, Dr. Ibrahim
al-Hifnawi, hlm. 75).
[2]
Namun melakukan perbuatan-perbuatan tersebut tanpa niat rujuk hukumnya adalah
makruh tanzih (al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 29/355).
ANAK 8 TAHUN MASIH TIDUR BERSAMA IBU DAN BAPA
Soalan; Assalamualaikum, saya ingin bertanya
kemusykilan saya tentang hukum anak berumur 8 tahun masih tidur bersama
ibu-bapa. Ada yang berkata kena asingkan tempat tidur habis tempoh menyusu,
saya tidak pasti kesahihannya. Terima kasih.
Jawapan;
Tidak digalakkan
oleh agama untuk anak yang telah mumayyiz (yakni telahmengerti dan tahu membezakan) untuk tidur
bersama dengan ayah dan ibunyakerana dikhuatiri berlaku pendedahan aurat dari bapa
dan ibunya ketika tidur. Di dalam al-Quran, Allah berfirman (bermaksud);
“Wahai orang-orang beriman, hendaklah
meminta izin kepada kamu hamba-hamba yang kamu miliki dan anak-anak yang belum
baligh di kalangan kamu (sebelum mereka memasuki kamar-kamar kamu) pada tiga
masa; masa sebelum solat subuh, masa ketika kamu menanggalkan pakaian di waktu
tengahari dan masa selepas solat isyak. Itu adalah tiga masa berlaku pendedahan
aurat pada kamu. Adapun lain dari tiga masa itu, tidaklah menjadi dosa ke atas
kamu dan juga ke atas mereka (untuk masuk tanpa meminta izin terlebih dahulu)
kerana mereka adalah orang-orang yang berlegar di sekitar kamu, yakni
sebahagian kamu sentiasa bergaul dengan sebahagian yang lain. Begitulah Allah
menjelaskan kepada kamu ayat-ayatNya. Allah maha mengetahui lagi maha
bijaksana” (ayat 58).
Dalam ayat di atas Allah memerintah anak-anak sekalipun
belum baligh (tetapi telah sampai umur mumayyiz) supaya meminta izin sebelum memasuki
bilik atau kamar ibu dan ayahnya terutamanya pada tiga waktu;
a)Sebelum subuh adalah masa kamu
bangun tidur
b)Selepas solat isyak ialah
masa kamu tidur
c)Waktu tengahari (ketika
matahari tegak atas kepala) adalah waktu qailulah iaitu waktu disunatkan kita
tidur seketika sebelum solat zohor.
Sebab perintah tersebut ialah untuk
mengelak dari terdedahnya aurat ibu-bapa kepada anak-anak. Inilah yang kita
fahami dari ungkapan Allah dalam ayat tersebut; “Itu adalah tiga masa berlaku
pendedahan aurat pada kamu”. Berkata ulamak –antaranya Syeikh Tohir Ibnu ‘Asyur-;
“Adalah suatu yang jelik ibu-bapa membiarkan anak-anak mereka (yang telah
mumayyiz) melihat aurat mereka kerana pandangan anak-anak akan membekas (dan
menjadi tabiat) dalam diri mereka. Wajib anak-anak diasuh supaya menjaga aurat sejak
dari kecil (yakni memelihara diri dari mendedahkan aurat dan dari melihat
kepada aurat orang lain) agar ia akan menjadi tabiat pada diri mereka apabila
mereka besar nanti” (Tafsir at-Tahrir wa at-Tanwir, surah an-Nur, ayat 58).
Jika pasti akan berlaku pendedahan aurat –seperti ibu dan
bapa berniat berseronok atau berjimak pada malamnya-, maka haramlah membenarkan
anak yang telah mumayyiz untuk turut tidur dalam bilik bersama ayah dan ibunya.
Suami dan isteri wajib memastikan mereka tidak dilihat oleh orang lain ketika
sedang berjimak. Diharamkan berjimak dengan dilihat orang lain termasuk anak kecil
jika ia telah mumayyiz (sekalipun ia belum baligh). Malah sebahagian ulamak
(antaranya jumhur ulamak mazhab Maliki) melarang berjimak dengan dilihat oleh anak
belum mumayyiz kerana mengambil contoh dari sahabat Nabi SAW bernama Ibnu ‘Umar
RA yang memerintahkan anaknya yang masih di dalam buaian supaya di bawa keluar
dari bilik sebelum ia berjimak dengan isterinya (kerana malu dengan anak itu).
Menurut jumhur; perbuatan Ibnu Umar RA itu tidaklah wajib –kerana ia sukar dan
sulit amalkan-, tetapi jika dapat diamalkan adalah baik. (al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah
al-Kuwaitiyyah, 3/178).
Berkata Syeikh Ibnu al-‘Uthaimin (salah seorang ulamak
besar Arab Saudi); “Pandangan yang soheh dalam masalah ini ialah; diharamkan
bersetubuh di hadapan orang lain, kecuali jika yang ada di hadapan itu adalah anak
kecil yang belum mengerti dan belum dapat menggambarkan sesuatu, maka tidak mengapa.
Adapun di hadapan anak yang sudah pandai menggambarkan apa yang berlaku di
depannya, tidak harus melakukan persetubuhan di hadapannya sekalipun ia masih kecil
kerana anak kecil sebegitu kadang-kadang ia bercakap menceritakan kepada orang lain
apa yang dilihatnya tanpa ia maksudkan. Anak kecil yang masih dalam buaian –sebagai
contohnya- jika usianya baru beberapa bulan, tidak mengapa berlaku persetubuhan
di hadapannya kerana ia tidak mengerti perbuatan tersebut dan belum dapat
menggambarkannya. Namun jika anak itu telah berusia tiga atau empat tahun,
tidak sepatutnya ibu-bapa melakukan persetubuhan di hadapannya kerana boleh
berlaku pada pagi nanti ia menceritakan apa yang dilihatnya kpada orang lain. Oleh
demikian, adalah dibenci agama ibu-bapa bersetubuh di hadapan anak kecil mereka
sekali belum mumayyiz jika ia sudah pandai menggambarkan dan memahami apa yang
dilihatnya” (Dinaqalkan dari Fatwa Syeikh Muhammad Soleh al-Munajjid).
Rujukan;
1.az-Zawaj, Dr. Muhammad
Ibrahim al-Hafnawi, hlm. 279.
2.al-Muqtataf Min 'Uyun
at-Tafasir, surah an-Nisa', ayat 19.
3.Fatwa Syeikh Muhammad Soleh
al-Munajjid (www.islamqa.com), no. 104246.
4.al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah,
3/178
HUBUNGAN ANTARA IBU SUAMI DAN ANAK LELAKI ISTERI: ADAKAH MAHRAM?
Soalan; Assalamualaikum ustaz yg sy kasihi..sy ada satu soalan yg memerlukan
huraian jwpan dari ustaz..mudah-mudahan ustaz sudi memberi pencerahan ttg
masalah ini. Saya bernikah dgn janda anak satu..anak janda tu lelaki..soalan sy
ialah adakah anak isteri saya dgn suaminya dulu tu mahram dgn ibu
saya?
Jawapan;
Tidak ada ikatan mahram antara ibu suami dengan
anak lelaki isteri (yakni antara nenek tiri dan cucu tiri), sebagaimana juga
tidak ada ikatan mahram antara anak lelaki suami dengan ibu isteri. Oleh itu,
tidak harus antara mereka untuk bersalaman, berduaan dan mendedah aurat.
Hubungan mahram wujud dengan tiga faktor/sebab;
a) Faktor nasab
(keturunan)
b) Faktor perkahwinan
c) Faktor penyusuan
Orang-orang
yang menjadi mahram dengan sebab/faktor perkahwinan terdiri dari empat
golongan;
1. Usul (asal-usul) suami, iaitu bapa suami, datuk suami dan ke
atas; mereka adalah mahram kepada isteri.
2. Furu' (cabang, zuriat)
suami, iaitu anak-anak beliau, cucu-cucunya serta cicitnya. Mereka adalah mahram
kepada isteri.
3. Usul (asal-usul) isteri, iaitu ibunya, neneknya serta
ke atas. Mereka adalah mahram kepada suami.
(*Tiga kelompok di atas
menjadi mahram dengan semata-mata berlakunya akad nikah).
4. Furu'
(cabang, zuriat) isteri, iaitu anak-anaknya, cucu-cucunya dan cicitnya. Mereka
adalah mahram kepada suami. (*Kelompok ini tidak menjadi mahram dengan akad
sahaja, tetapi dengan akad dan juga persetubuhan, yakni; anak perempuan isteri
atau cucu perempuannya hanya menjadi mahram kepada suami apabila ibunya (yakni
isteri) disetubuhi setelah berlakunya akad. Kesimpulannya, apabila seorang
lelaki mengahwini seorang wanita dan ia telah mensetubuhinya, maka dengan
berlakunya persetubuhan itu, haram ke atasnya mengahwini anak atau cucu wanita
tersebut untuk selamanya sama ada anak sebelum perkahwinan dengannya atau anak
selepas perkahwinan dengannya).
Hanya kelompok-kelompok itu sahaja yang
menjadi mahram kerana faktor perkahwinan. Dari itu, jelas kepada kita bahawa
tidak ada ikatan mahram antara usul dan furu' suami dengan usul dan furu'
iateri. Oleh demikian, ibu kepada suami tidaklah menjadi mahram kepada anak
lelaki isteri, begitu juga ibu isteri tidak menjadi mahram kepada anak lelaki
suami.
Soalan; Assalamualaikum Ustaz, Saya ingin bertanya, adakah benar yang Islam membenarkan tuan kepada hamba berjimak dengan hamba perempuannya tanpa nikah? Jika ya, mengapakah ia dibolehkan? Terima Kasih
Jawapan;
Ya, Islam membenarkan seorang tuan beristimta' dengan hamba perempuan yang dimilikinya berdalilkan firman Allah (bermaksud); "Dan (di antara sifat orang-orang mukmin ialah) mereka yang menjaga kemaluan mereka (dari syahwat yang haram, iaitu zina dan sebagainya), kecuali kepada isteri mereka atau hamba (perempuan) yang mereka miliki, maka sesungguhnya mereka tidaklah tercela(apabila melepaskan syahwat itu kepada isteri atau hamba yang dimiliki)” (Surah al-Mukminun, ayat 5-6).
Berdasarkan ayat ini, jimak yang dihalalkan Syariat adalah melalui dua ikatan;
1. Ikatan perkahwinan
2. Ikatan milki yamin (pemilikan hamba).
Kedua-dua jimak tersebut jika menghasilkan anak, maka anak itu dinasabkan kepada suami atau tuan dengan nasad yang sah dan boleh mewarisi. Milki yamin (pemilikan hamba) tidak memerlukan lagi akad perkahwinan kerana dengan milki yamin tersebut seorang wanita hamba itu menjadi milik tuannya secara sepenuhnya dan harus tuannya memanfaatkannya termasuk beristimta' dengannya.
Pada zaman awal kemunculan Islam, pemilikan hamba merupakan fenomena yang berleluasa ketika itu. Untuk menghapuskannya Syariat Islam mengambil langkah berhikmah dan secara tadarruj (peringkat demi peringkat)kerana penghapusan secara drastik akan menyusahkan masyarakat yang terbiasa dengan amalan tersebut di samping mungkin akan memudaratkan hamba itu sendiri kerana terpaksa hidup berdikari dalam keadaan belum bersedia kerana sebelumnya ia bergantung hidup kepada tuannya.
Islam telah membuka ruang yang banyak untuk pembebasan hamba melalui hukum-hakam Syariatnya. Pembebasan hamba dijadikan sebagai salah satu denda yang ditetapkan Syariat bagi kes bunuh, pelanggaran sumpah, zihar dan persetubuhan di siang hari dalam bulan Ramadhan. Nabi SAW sendiri menggalakkan sahabat-sahabatnya membebaskan hamba. Ia merupakan ibadah yang besar pahalanya sebagaimana sabda Nabi SAW; "Sesiapa membebaskan seorang hamba beriman, Allah akan membebaskan dengan setiap anggota dari hamba itu setiap anggotanya dari api neraka" (HR Imam al-Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah RA).
Demi menjaga hak-hak hamba, Syariat Islam mewajibkan pemilik hamba melayani hamba-hambanya dengan baik, menjaga kebajikan dan keperluan mereka dan tidak membebani mereka melebihi kemampuan mereka. Sabda Nabi SAW; "Hamba-hamba kamu itu adalah saudara-saudara kamu. Allah meletakkan mereka di bawah jagaan kamu. Maka sesiapa yang Allah meletakkan saudaranya di bawah jagaannya, hendaklah ia memberi makan kepadanya sebagaimana makanan yang ia makan, memberi pakaian kepadanya sebagaimana yang ia pakai dan tidak membebaninya kerja yang melebihi kemampuannya. Tatkala ia membebaninya, hendaklah ia membantunya" (HR Imam al-Bukhari).
Keharusan yang diberikan oleh Syariat kepada tuan untuk mensetubuhi hamba perempuannya merupakan satu perhormatan kepada hamba itu dan juga satu langkah kepada pembebasannya. Seorang hamba wanita yang disetubuhi tuannya, apabila ia mengandung tidak harus lagi untuk tuannya menjualnya atau menghadiahkannya kepada sesiapa. Apabila ia melahirkan anak, anak itu akan dinasabkan kepada tuannya (dan menjadi seorang yang merdeka) dan hamba itu akan bergelar ummu walad. Sebaik tuannya meninggal, ia akan terbebas dengan sendirinya (yakni menjadi wanita merdeka tanpa dapat dihalang oleh sesiapapun). Wallahu a'lam.